Sunday, 11 December 2011

Jenis- jenis hutan

JENIS-JENIS HUTAN

Malaysia sebagai sebuah negara yang terletak di kawasan iklim khatulistiwa diliputi oleh lapisan hutan yang tebal. Kebanyakan daripada tanah yang ditumbuhi hutan telah digazet sebagai Hutan Simpan Kekal, Taman Negara dan Taman-Taman Negeri. Kawasan-kawasan Hutan Perlindungan bertujuan untuk pemeliharaan pelbagai jenis pokok dan herba yang terdapat supaya kajian yang lebih lanjut dapat dijalankan oleh generasi masa kini dan akan datang. Secara umumnya hutan di Malaysia merupakan hasil proses sesaran hutan dari kawasan pantai, hutan bakau sehingga ke kawasan Hutan Dipterokap tanah Pamah, Hutan Dipterokap Tanah Tinggi dan Hutan Pergunungan.

Hutan Pantai

Hutan ini didapati di sepanjang pantai negeri Sabah. Hutan in semakin pupus disebabkan oleh skim pembangunan pantai yang semakin meningkat. Spesies yang mendominasi hutan ini ialah Casuarina equisetifolia.

Hutan Bakau

Hutan ini meliputi sebahagian besar pantai barat dan pantai timur negeri Sabah. Rhizophora sp. dan Bruguiera sp. merupakan spesies yang banyak terdapat di kawasan ini. Spesies-spesies tersebut mula dieskport ke luar negeri sejak 1986. Kayu bakau mempunyai kegunaan akhir yang berguna seperti sebagai kayu api, tiang-tiang rumah dan bahan bakar. Kawasan Hutan Bakau penting untuk hidupan laut seperti ikan dan udang.

Hutan Nipah

Hutan ini biasanya didapati tumbuh bersama dengan vegetasi Hutan bakau. Hutan ini tumbuh di kawasan air tawar. Daun nipah digunakan untuk membuat atap rumah manakala luahan digunakan sebagai minyak.

Hutan Transitional

Hutan ini didapati di antara Hutan Bakau, Hutan Nipah atau Hutan Paya dan dikenali sebagai Hutan Tanah Kering. Spesies yang mendominasikan kawasan hutan ini adalah seperti Nibong (Oncosperma sp.), palma, rotan dan merbau (Intsia palembanica).

Hutan Paya

Hutan ini terbentuk di antara Paya Gambut dan paya Air Tawar. Paya Air Tawar menerima sumber air dari kawasan jeram dan sungai, manakala Paya Gambut menerima kelembapan dari air hujan.

Hutan Dipterokap

Terminologi Dipterokap telah diambil sempena sifat fizikal buah yang mempunyai dua helai sayap. Jenis hutan ini mendominasikan hutan di negeri Sabah. Hutan ini merupakan jenis Hutan Hujan Tropika yang terkenal dengan pokok yang mempunyai ketinggian paling tinggi berbanding dengan pokok dari hutan-hutan lain di dunia. Spesies Dipterokap mempunyai banir besar dan pengeluaran bunga dan buah pada dahan. Hutan ini boleh didapati pada ketinggian 900m atas paras laut dan dibahagikan kepada 8 genera utama.

Hutan Riverine

Hutan ini banyak didapati di sepanjang sungai dengan kandungan spesies yang pelbagai. Spesies untuk kayu balak adalah kurang didapati tetapi hutan ini penting sebagai penghalang banjir, pelindung tebing sungai dan mengurangkan hakisan tanah di kawasan tanah curam.

Hutan Kerangas

Hutan ini ditumbuhi pokok-pokok yang berdiameter kecil, daun berkulit dan tanah hutan yang nipis dan berasid. Tanah nipis tersebut biasanya dilapisi batu kapur. Spesies kayu balak dan hidupan liar kurang didapati di kawasan hutan ini.

Hutan Ultrabasic

Struktur hutan adalah berbeza dengan hutan lain. Pokok mempunyai silira dan daun yang kecil. Jenis hutan ini banyak didapati di kawasan berbukit, daerah Telupid.

Hutan Pergunungan

Hutan ini wujud pada ketinggian yang melebihi 900m atas paras laut. Jenis hutan ini boleh didapati di sepanjang Banjaran Crocker dan Gunung Kinabalu. Pokok Oaks dan Chestnuts banyak didapati kerana tahan dengan tiupan angin kencang dan keadaan cuaca yang ekstrim.

Hutan Cloud

Hutan ini wujud pada ketinggian yang melebihi 2200m atas paras laut dan tumbuh pada lapisan tanah yang nipis. Spesies ini boleh didapati di kawasan Gunung Kinabalu pada ketinggian melebihi 3300m atas paras laut. Spesies lumut dan tumbuhan Red Rhododendrons didapati tumbuh pada pokok rhu dan Dacrydium beccarri.

PENGKELASAN HUTAN

Secara umumnya hutan di Malaysia telah dibahagikan kepada 7 kelas hutan untuk tujuan pengurusan dan pengawalan hutan.

Kelas I - Hutan Perlindungan

Hutan ini berfungsi sebagai kawasan tadahan air dan untuk kepentingan alam sekitar. Kawasan hutan ini tidak boleh dibalak dan jumlah luas melebihi 99980 ha. di negeri Sabah.

Kelas II - Hutan Komersil

Hutan ini boleh dibalak untuk membekalkan pelbagai jenis kayu keras yang berharga seperti Acacia mangium, Paraserianthes falcataria, Gmelina arborea dan Eucalyptus deglupta bagi kepentingan ekonomi negara. Pembalakan dijalankan selaras dengan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan seperti yang digariskan dalam dasar Perhutanan Negara 1978 ( Pindaan 1992).

Kelas III - Hutan Domestik

Hasil hutan dari kawasan ini adalah untuk kegunaan tempatan sahaja. Pengeluaran hasil hutan untuk tujuan komersil adalah tidak digalakkan.

Kelas IV - Hutan Ameniti

Hutan ini berfungsi sebagai kawasan arboretum dan menyediakan kemudahan rekreasi. Spesies exotic kadangkala ditanam untuk meningkatkan nilai ameniti kawasan hutan.

Kelas V - Hutan Bakau

Hutan ini berfungsi untuk membekalkan kayu bakau terutamanya Rhizophora sp. Kayu bakau mempunyai kegunaan luas seperti sebagai kayu api, tiang, arang kayu dan bahan samak.

Kelas VI - Hutan Simpan Dara

Hutan ini ditanam unutk tujuan penyelidikan perhutanan. Aktiviti pembalakan adalah dilarang dijalankan di kawasan hutan ini. Hutan Simpan Dara Sepilok merupakan antara salah satu contoh hutan jenis ini.

Kelas VII - Hutan Simpan Hidupan Liar

Hutan ini berfungsi untuk perlindungan dan penyelidikan hidupan liar. Rhinoceros sumatrana merupakan salah satu haiwan terlindung dalam hutan tersebut.

HUTAN DAN KEGUNAAN


Hutan Malaysia menghasilkan pelbagai makanan dan buah-buahan seperti petai, jering, sagu, durian dan manggis . Di dalam hutan juga terdapat binatang buruan seperti rusa, kijang, burung punai dan ayam hutan. Flora dan fauna yang mempunyai "biodiversiti" yang tinggi telah menjadi makanan utama penduduk asli yang masih hidup dalam keadaan serba kekurangan.


Kayu bakau juga digunakan sebagai kayu api, tiang, arang kayu dan bahan samak. Daun pokok nipah digunakan sebagai atap rumah. Kayu pokok ru digunakan untuk membina perahu. Getah poko jelutung digunakan untuk membuat gam kunyah.


Hutan juga berupaya menghasilkan nilai ekonomi yang tinggi. Misalnya pokok pain dan akasia yang cepat tumbuh ditanam di kawasan pembalakan untuk menghasilkan pokok lembut bagi perusahaan membuat kertas. Kertas yang dihasilkan kebanyakan dieksport ke negara-negara Eropah yang mempunyai permintaan yang tinggi terhadapnya disebabkan oleh kepesatan pembangunan industri percetakan.


Hutan juga menyediakan beberapa jenis tumbuhan ubat tradisional. Menurut kenyataan Pusat Pengesanan Pemuliharaan Dunia (World Conservation Monitoring Centre), sumber genetik tumbuhan ubat-ubatan di Malaysia baru mula dibuat penilaian. Antara spesies yang diminati oleh penjual herba dan pengamal ubat tradisional ialah dari famili Apocynaceae, Annonaceae, Rutaceae, Dioscoreaece, Leguminosae, Lauroceae dan Zingiberaceae.


Hutan Malaysia menghasilkan kayu keras tropika, rotan dan buluh. Hasil-hasil ini dibuat kayu bergergaji, papan lapis, venir, dan perkakas. Contohnya meja dan kerusi yang dihasilkan di Malaysia telah mendapat sambutan yang tinggi di luar negeri.


Keunikan pelbagai jenis fauna dan flora yang terdapat menyediakan suatu kawasan rekreasi kepada mereka yang berminat dalam pengembaraan. Apabila ramai pelancong asing melawat ke negara ini, maka secara tidak langsung ini akan menggalakkan pengaliran masuk wang ke negara kita.


Hutan juga boleh menghasilkan jenis pokok non-kayu yang mempunyai nilai dan potensi ekonomi yang cukup tinggi. Beberapa jenis hasil hutan non-kayu yang dimanfaatkan pada masa kini ialah madu, gula kawung, bambu, agar laut, kapulaga, koneng gede, laja dan pelbagai jenis tumbuhan obat.


Salah satu jenis kayu keras yang berharga ialah kayu jati atau nama saintifiknya Tectona grandis telah dipindahkan dari Myanmar, Laos dan negara Thai untuk ditanam di Malaysia. Kayu jati telah mendapat sambutan yang menggalakkan di luar negara.

Walau bagaimanapun pembalakan hutan yang meluas telah mendatangkan pelbagai kesan kepada negara ini. Misalnya hakisan tanah, banjir dan pencemaran air serta merosakkan tumbuhan dan habitat semulajadi haiwan. Gangguan keseimbangan semula jadi dan saling kaitan di antara tumbuhan dengan haiwan telah memaksa binatang liar mencari makanan di kawasan pertanian dan mengakibatkan kerosakan tanaman. Pembukaan hutan tanpa pengawasan dan kawalan boleh menyebabkan tumbuhan dan haiwan yang berguna terpupus. Justeru itu, Hutan Simpan dan taman negara telah diisytiharkan untuk melindungi tumbuhan dan haiwan . Taman Negara terdapat di Semenanjung Malaysia, Gunung Mulu dan Gunung Kinabalu.

SINOPSIS

Objektif Dasar Perhutanan, 1978 adalah untuk memelihara dan mengurus hutan melalui amalan pengurusan hutan secara berkekalan serta mengekalkan peranan pentingnya dalan ekonomi negara dan kestabilan alam sekitar.

Secara ringkasnya, Dasar Perhutanan Negara adalah bertujuan untuk mencapai objektif berikut:

· Pengwartaan Hutan Simpan Kekal

Untuk memperuntukkan kawasan tanah yang mencukupi bagi Hutan Perlindungan, Hutan Berhasil, Hutan Lipur dan Hutan Pendidikan dan Penyelidikan sebagai Hutan Simpan Kekal.

· Perundangan Hutan

Untuk memastikan sumber hutan dikekal dan diuruskan secara berkekalan melalui penguatkuasaan undang-undang hutan yang cekap.

· Pengurusan Hutan Secara Berkekalan

Untuk mengurus hutan melalui amalan prinsip pengurusan hasil secara berkekalan bagi mencapai faedah sosial, ekonomi dana alam sekitar yang maksimum.

· Pemeliharaan dan Pemulihan Hutan

Untuk meningkatkan program pembangunan hutan melalui operasi pemeliharaan dan pemuliharaan hutan berasaskan amalan-amalan silvikultur yang sesuai bagi mencapai produktiviti yang maksimum.

· Pengusahasilan Hutan

Untuk menggalakkan cara-cara pengusahasilan hutan yang cekap melalui rancangan pengurusan dan pengusahasilan hutan yang ditetapkan bagi penghasilan keluaran hutan secara berkekalan.

· Keluaran dan Industri Hutan

Untuk mencapai keseimbangan yang rasional antara kapasiti keupayaan industri pemprosesan dengan bekalan sumber hutan.

· Ladang Hutan

Untuk menubuh dan menguruskan ladang hutan bagi menampung bekalan kayu balak dari kawasan hutan asli serta menggalakkan pelaburan sektor swasta yang aktif dalam penubuhan dan pembangunan ladang hutan.

· Pengeluaran Hutan Bukan Kayu

Untuk meningkatkan keluaran hutan bukan kayu bagi menampung permintaan tempatan serta keperluan industri pemprosesan yang berkaitan.

· Penyelidikan Perhutanan

Untuk menggalakkan sektor awam dan swasta dalam perlaksanaan semua aspek penyelidikan perhutanan.

· Pembangunan Tenaga Manusia dan Latihan

Untuk menambah bilangan tenaga manusia yang terlatih bagi menampung keperluan perhutanan dan industri berasaskan kayu.

· Pemeliharaan Kepelbagaian Hayat

untuk melaksanakan program-program yang sesuai bagi mengekalkan kepelbagaian hayat dan memelihara jenis-jenis flora dan fauna yang unik.

· Nilai Khusus Saintifik

Untuk mewujudkan kawasan yang sesuai bagi tujuan pendidikan dan keperluan sains. Koleksi tumbuhan yang terdapat amat berguna dalam program pemeliharaan, penyelidikan dan demontrasi pemeliharaan.

No comments:

Post a Comment